Friday, November 20, 2009

Tiada Salahnya Kerja “9-To-5″ Atau “Lebih Sikit Daripada Pokai”

Oleh Zamri Nanyan
Apabila saya nampak usahawan internet yang melakukan bisnes internet mereka secara sepenuh masa mempersendakan orang yang masih bekerja, saya rasa amat marah sekali.
Komen seperti J-O-B (Kerja) diumpamakan seperti “Just Over Broke” (Lebih Sikit Daripada Pokai) atau “Rat Race” (Larian Tikus Dalam Gelung yang tak pernah selesai) membuatkan saya tersinggung. Semasa saya bekerja dahulu dan juga membina bisnes internet pada masa yang sama, saya telahpun didedahkan dengan ayat-ayat seperti ini untuk mempengaruhi saya untuk berhenti bekerja dengan orang lain.
Pada saya, bukan semua kerja dengan orang itu sesuatu yang buruk. Sebagai contoh, guru, doktor, posmen, pemandu bas, penebar roti canai, penoreh getah dan sebagainya mempunyai peranan mereka sendiri. Kalau tiada mereka yang masih mempunyai “Just Over Broke”, anda mungkin tidak dapat menikmati roti canai yang sedap. Anda mungkin akan mati kerana tidak diberikan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit anda. Kereta mewah yang anda pandu mungkin tidak akan gunakan tayar getah yang berkualiti. Anak anda mungkin tidak akan menjadi insan yang handal pada suatu masa nanti disebabkan tiada guru yang berminat untuk mengajar.

Anda boleh lihat di sini bahawa inilah pengorbanan mereka kepada sosial. Inilah kontribusi mereka kepada perkembangan ekonomi. Inilah juga sumber pendapatan internet anda sekiranya produk yang anda jual dibeli oleh mereka. Sesetengah orang memang tidak mempunyai kemahiran untuk menjadi usahawan dan tidak pun berminat untuk menjadi usahawan. Disebabkan faktor tertentu, mungkin mereka lebih sesuai untuk menjadi pekerja seumur hidup mereka.

Tugas saya dan anda sebagai usahawan internet ialah memberikan peluang bahawa dengan mempunyai pekerjaan tetap, mereka masih lagi mampu membina saluran pendapatan tambahan selain daripada gaji bulanan. Memang pendapatan di internet boleh dijana secara separuh masa. Saya katakannya begitu kerana saya juga pernah membina bisnes internet semasa masih mempunyai pekerjaan tetap selama 7 tahun. Walaubagaimanapun, sekiranya mereka tidak nampak peluang yang disediakan di hadapan mereka, tiada apa yang boleh dilakukan lagi selain daripada berharap yang suatu hari nanti minda mereka akan terbuka.

Jika anda masih lagi mempunyai pekerjaan, mempunyai cita-cita untuk membina bisnes secara sepenuh masa sekarang, jangan tunggu lama-lama. Mulakan langkah anda dan bina bisnes anda secara separuh masa. Kelebihan membina bisnes internet atau bisnes konvensional semasa anda mempunyai pekerjaan ialah anda mempunyai peluang untuk membina “keuntungan” di samping mempunyai “gaji” tetap. Gaji anda boleh menampung segala keperluan pembinaan bisnes anda tanpa anda perlu berasa risau untuk mendapatkan modal pusingan dari bisnes anda sendiri. Tidakkah ini sesuatu kelebihan yang anda perolehi berbanding mereka yang terus terjun ke bidang perniagaan tanpa mempunyai plan jangka masa panjang?

Simpan modal bulanan untuk anda membina bisnes anda setiap kali anda dapat gaji. Jika 10% gaji anda adalah sesuatu yang anda mampu, anggaplah 10% pelaburan tersebut akan digunakan untuk anda belajar membina bisnes, membeli peralatan bisnes dan seterusnya memperkembangkan bisnes anda. Bila keuntungan anda bertambah, anda akan terkejut yang suatu hari nanti, anda sudah tidak perlukan lagi modal simpanan 10% gaji anda tersebut kerana keuntungan anda sudahpun melebihi 100% gaji yang anda perolehi.

Jadi, jangan berasa kecewa jika anda tidak dapat membina bisnes internet sepenuh masa lagi. Sebaliknya, bersyukur kerana pekerjaan anda mampu memberi anda peluang untuk berjinak-jinak dengan bisnes kegemaran anda.

Mengenai Penulis
Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam
Perniagaan Internet sejak tahun 2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan pada masa yang sama. Beliau berasa puas sekiranya dapat membantu lebih ramai orang membongkar rahsia menjana pendapatan melalui Internet. Lawati laman web beliau di http://PerniagaanInternet.ws/r/zamclara06 untuk mengenali Zamri Nanyan dengan lebih dekat.

No comments:

Post a Comment

LAPORAN PERCUMA MD3GLOBAL

Isikan Data di Bawah untuk Download sekarang: